Syerleena mahu 3 akaun TikTok sebar fitnah diambil tindakan

 

Ahli Parlimen Bukit BenderaSyerleena Abdul Rashid mengecam sekeras-kerasnya tindakan tiga akaun TikTok yang didakwa menyebarkan video mengandungi tuduhan fitnah, penyelewengan fakta, dan naratif kebencian yang disasarkan terhadap beliau.

Tiga akaun TikTok yang dinamakan adalah @nowadd_, @cikguirisdelea, dan @SayapKiri916.

Beliau dalam kenyataannya hari ini berkata, kandungan video tersebut bukan sekadar kritikan biasa atau komentar politik, sebaliknya telah melampaui garis penting iaitu kebebasan bersuara dan hasutan kebencian serta keganasan yang disengajakan.

"Video-video ini bukan dibuat untuk menyebarkan maklumat yang membina, tetapi untuk memprovokasi. 

"Ia telah memesongkan kata-kata saya, memutarbelitkan niat saya, serta mencipta dakwaan palsu yang tidak mempunyai asas," ujarnya.

Syerleena menambah, tindakan tersebut lebih berbahaya apabila ia memperalatkan sentimen agama dan stereotaip gender untuk menghilangkan kemanusiaannya di mata penonton.

Beliau menegaskan bahawa perbuatan itu bukan sahaja serangan terhadap peribadinya, tetapi juga merupakan serangan terhadap nilai adab, kesopanan, dan rasa hormat yang selama ini menjadi pegangan rakyat Malaysia.

Mengakui bahawa kehidupan sebagai pemimpin awam membawa bersama penelitian umum dan terbuka kepada perbahasan jujur, Syerleena berkata apa yang berlaku di platform tersebut bukanlah kritikan.

"Ia adalah serangan peribadi yang sengaja dihasilkan untuk mengapi-apikan kebencian," tegasnya.

Beliau turut menekankan bahawa tiada Ahli Parlimen tanpa mengira parti, agama, jantina, atau latar belakang wajar dijadikan sasaran kandungan yang menggalakkan kebencian atau keganasan.

"Apabila maklumat palsu dibiarkan tersebar tanpa kawalan, ia merosakkan kepercayaan terhadap institusi, dan mengadu domba rakyat antara satu sama lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat media sosial seperti TikTok untuk mengakui tanggungjawab mereka dan tidak boleh lepas tangan daripada bahaya yang terhasil akibat algoritma.

"Saya menggesa platform-platform ini bertindak tegas: hapuskan kandungan yang melanggar garis panduan, gantung akaun yang berulang kali melakukan gangguan terancang, dan tingkatkan moderasi kandungan di Malaysia, khususnya yang melibatkan maklumat politik," gesanya.

Pada masa yang sama, Syerleena menggesa pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat pencipta video-video fitnah tersebut dan menguatkuasakan undang-undang.

"Tujuannya bukan untuk membalas dendam; tujuannya untuk memberi peringatan. Apabila sempadan tidak ditegakkan, mereka yang menyebarkan kebencian akan berasa lebih berani untuk melampau," ujarnya.

Syerleena juga menyentuh tentang gender dan agama sering diputarkan menjadi alat intimidasi yang bertujuan membungkam wanita dan menolak mereka keluar daripada ruang kepimpinan.

"Namun kami tidak akan berundur. Negara ini memerlukan lebih ramai wanita di meja membuat keputusan, bukan lebih sedikit. 

"Kita mesti mewujudkan persekitaran di mana anak perempuan, adik-beradik, dan para ibu dapat memimpin tanpa rasa takut," katanya.

Beliau menyeru rakyat Malaysia agar sentiasa berwaspada, menyemak maklumat, dan menolak naratif yang dibina atas kemarahan, bukannya kebenaran.

"Saya akan terus berkhidmat dengan integriti, fokus kepada usaha yang benar-benar bermakna, memperkukuh komuniti, memperbaiki kehidupan rakyat, dan membina Malaysia yang boleh dibanggakan bersama. 

"Mereka yang menyebarkan kebencian mungkin bising, tetapi mereka tidak akan menggagalkan amanah yang telah diberikan kepada saya oleh rakyat Pulau Pinang," katanya.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan