AMK Pahang sokong PKR bertanding DUN Sabai ganti MIC

 

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang menyokong penuh kesiapsiagaan PKR Bentong mempertimbangkan parti bertanding di kerusi DUN Sabai pada pilihan raya akan datang sekiranya MIC memilih untuk tidak lagi bersama Kerajaan Madani.

Ketua Penerangannya, Ahmad Hyecal Othman berkata, ia bukan soal perebutan kerusi, tetapi soal tanggungjawab politik memastikan Sabai terus diwakili oleh parti yang benar-benar menyokong kerajaan, bersikap setia kepada kepentingan rakyat, serta tidak terumbang-ambing dengan budaya ugutan dan politik tawar-menawar.

Menurut beliau, DUN Sabai merupakan kawasan majmuk yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan PKR sentiasa berdiri atas prinsip inklusif, adil kepada semua etnik dan menghormati peranan masyarakat India sebagai antara komponen penting di Bentong.

"Dalam semangat demokrasi dan perpaduan nasional, AMK Pahang berdiri teguh bersama PKR Bentong dalam memastikan Sabai akan terus bersama Kerajaan Madani.

"Kami percaya bahawa masa depan Malaysia bukan dimiliki oleh mereka yang bermain ugutan, tetapi oleh mereka yang bekerja dengan ikhlas untuk rakyat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ahmad Hyecal mengulas hantaran Facebook Ketua PKR Cabang Bentong, Jefry Nizam baru-baru ini berhubung cadangan PKR bertanding di DUN Sabai.

Walau bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Bentong,  Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh semalam menyatakan pihaknya mahu menuntut semula kerusi itu daripada MIC.  

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan