UMNO Bahagian Bentong menegaskan akan menuntut semula kerusi Dewan Undangan Negeri Sabai pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya MIC mengambil keputusan keluar daripada Barisan Nasional.
Pemangku Ketuanya, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, perkara itu berasas kerana jentera UMNO di kawasan berkenaan bekerja keras membantu kemenangan calon MIC pada PRU15.
“UMNO Bahagian Bentong kesal kerana segala usaha dan tenaga yang dicurahkan untuk memenangkan calon MIC seolah-olah tidak dipedulikan.
“Malah, keputusan menyokong PN dilihat bercanggah dengan semangat setiakawan dalam BN,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Beliau berkata, DUN kerusi Sabai bukan hak mutlak MIC kerana kemenangan terdahulu dicapai hasil kerjasama rapat jentera UMNO dan parti itu di Bentong.
Tindakan Pengerusi MIC Pahang, V. Arumugam yang juga ADUN Sabai menyokong usul keluar BN dan menyertai Perikatan Nasional, katanya, menunjukkan pengorbanan UMNO Bentong tidak dihargai.
“Jika MIC keluar BN, maka kerusi itu sewajarnya dikembalikan kepada UMNO sebagai tanda keadilan politik.
"Kami tidak akan berdiam diri kerana pengundi Sabai juga sebahagian daripada tanggungjawab UMNO Bentong,” ujarnya.
Mohamad Zaini menegaskan, UMNO Bahagian Bentong kekal mempertahankan BN sebagai wadah perjuangan politik, dan tindakan keluar daripada gabungan itu dianggap mengkhianati mandat rakyat.
Katanya, keputusan MIC Pahang menyokong usul meninggalkan BN turut menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli akar umbi yang setia berjuang di bawah panji gabungan berkenaan.
“UMNO Bahagian Bentong tidak menolak kemungkinan akan menggerakkan jentera lebih awal di Sabai sebagai persediaan menghadapi PRU16.
"Kami mahu pastikan kerusi itu kembali kepada UMNO,” jelasnya.
Ahad lalu, media melaporkan Perhimpunan Agung MIC ke-79 menangguhkan keputusan sama ada parti itu keluar atau kekal dalam BN selepas Timbalan Presiden, Datuk Seri M. Saravanan membentangkan tiga usul, termasuk cadangan menyertai gabungan pembangkang.
Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran sebelum itu memaklumkan ketiga-tiga usul berkenaan diterima dan dirujuk kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat.

0 Ulasan