Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menegaskan agar parti itu tidak memberikan layanan istimewa kepada mana-mana pemimpin yang dipecat atau digantung sekiranya mereka mahu kembali menyertai UMNO.
Menurut beliau, isu kemasukan semula individu berkenaan kini hangat diperkatakan di media sosial, namun UMNO perlu tegas dan adil terhadap semua ahli parti tanpa mengira kedudukan.
“Media sosial begitu ghairah dengan berita kononnya ada pemimpin parti yang dipecat atau digantung akan menyertai semula UMNO.
"Semoga UMNO tidak beri layanan istimewa kepada mereka,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Mohd. Puad menjelaskan, tindakan pemecatan atau penggantungan seseorang ahli pasti mempunyai alasan kukuh, khususnya berkaitan masalah disiplin dan tidak patuh keputusan parti.
Beliau menegaskan, UMNO tidak boleh mengamalkan dua darjat dalam kalangan ahlinya, sebaliknya perlu menghargai mereka yang setia di akar umbi dan sentiasa mematuhi keputusan parti.
“Jangan kita korbankan ahli-ahli parti di kampung yang mentaati dan patuh konsensus parti, tetapi akhirnya yang memperlekeh konsensus parti diberi layanan istimewa,” katanya lagi.
Beliau turut menegur segelintir ahli Parlimen UMNO yang enggan mematuhi arahan keluar Dewan Rakyat ketika keputusan dibuat oleh whip parti, sambil mengingatkan bahawa keikhlasan perlu menjadi asas kepada sesiapa yang mahu kembali ke pangkuan UMNO.
"Sebab itu kalau mahu kembali kepada UMNO, tidak perlu test market, tidak perlu tunggu dijemput.
"Datanglah sendiri. Dengan budi bahasa dan keikhlasan. UMNO tetap terbuka untuk semua,” katanya.

0 Ulasan