UMNO khianati perjuangan asal orang Melayu - Tun M

 

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menuduh UMNO mengkhianati perjuangan asal orang Melayu apabila menyokong perjanjian yang didakwanya meletakkan Malaysia di bawah pengaruh Amerika Syarikat (AS).

Beliau yang juga bekas Presiden UMNO mendakwa tindakan parti itu telah menyeleweng daripada perjuangan asal nenek moyang yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

“Wahai ahli UMNO, kamu sudah khianati perjuangan ibu bapa dan datuk nenek kamu untuk kemerdekaan Tanah Melayu. 

"Hari ini kamu sokong tindakan menghapuskan kemerdekaan yang mereka perjuang dahulu apabila mempersetujui perjanjian meletak negara tercinta ini di bawah kuasa AS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, perjanjian berkenaan bukan sahaja menggadaikan maruah negara tetapi turut memperlihatkan kepimpinan UMNO mengutamakan kepentingan peribadi.

“Kamu utamakan kepentingan diri kamu dan gadai tanah air. Anak cucu kamu akan kutuk perbuatan kamu,” ujarnya.

Beliau menegaskan, tiada alasan untuk mempertahankan perjanjian itu kerana ia menyebabkan Malaysia kehilangan keberanian untuk berdiri sebagai negara berdaulat.

“Tak perlu kamu pertahan perjanjian ini. Selain daripada bersetuju membeli hampir satu trilion ringgit barangan Amerika, kamu bersetuju menyokong dasar dan tindakan AS. 

"Kamu juga setuju merujuk kepada AS segala tindakan dan dasar hubungan Malaysia dengan negara lain supaya tidak bertentangan dasar dan tindakan AS. Keberanian Malaysia sudah tidak ada lagi. Segala-galanya ditentu oleh AS,” katanya.

Dr. Mahathir menambah, tindakan UMNO itu menjadikan parti tersebut tidak lagi layak mendakwa memperjuangkan bangsa, agama dan negara.

“UMNO sudah jadi pengkhianat kepada bangsa Melayu. UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, negara dan agama. Bagi ahli dan wakil rakyat UMNO, perjuangan hanyalah untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tindakan itu akan terus terpahat sebagai pengkhianatan dalam lipatan sejarah negara.

“Pengkhianatan kamu akan tercatat dalam sejarah negara,” katanya.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan