BN bukan parti melukut di tepi gantang

 

Pemuda Barisan Nasional (BN) ingin menegaskan dengan jelas bahawa BN tidak pernah dan tidak akan menjadi melukut di tepi gantang

Pengarah Komunikasinya, Neow Choo Seong berkata, BN bukan parti yang merayu untuk diterima atau bergantung pada ihsan mana-mana pihak.

Menurut beliau, BN sebuah parti yang bermaruah dan berprinsip. 

"Jika ada pihak yang menyangka BN terdesak mengejar jawatan, itu satu tanggapan yang silap. 

"Jawatan tanpa manfaat kepada rakyat tidak ada nilainya," katanya dalam kenyataan media baru-baru ini. 

Choo Seong berkata, politik bukan pentas untuk kepentingan peribadi atau melindungi kedudukan. 

Sebaliknya, kata beliau, politik adalah amanah dan amanah yang mesti ditunaikan demi rakyat.

"Andai rakyat meletakkan BN sebagai pembangkang, BN tidak akan bersembunyi di belakang mana-mana gabungan. 

"Lebih baik menjadi pembangkang yang tegas, berani bersuara dan konsisten memperjuangkan kepentingan rakyat, daripada berada dalam kerajaan tetapi hanya menjadi pak turut dan menjaga kepentingan diri," katanya.

Choo Seong menambah, rakyat kini muak dengan politik perebutan kuasa, ugutan sokongan, dan drama lompat-melompat. 

Menurut beliau, mereka mahu parti yang jelas pendiriannya. 

"Maka BN perlu memilih jalan yang lebih sukar tetapi lebih bermaruah iaitu bangkit bersama rakyat, bukan bergantung pada kuasa.

"BN telah melalui kejatuhan, kebangkitan dan cabaran yang lebih besar daripada ini. 

"Hari ini, kita perlu membuktikan kepada rakyat bahawa BN tetap berpegang teguh kepada prinsip perjuangannya iaitu: membela rakyat, menegakkan integriti, dan menjadi suara yang tidak boleh dibeli atau digertak.

"BN bangkit kerana rakyat, BN bukan hamba kepada kuasa," jelasnya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan