Sebuah bot penumpang yang dalam perjalanan dari Terminal Menumbok ke Labuan terbakar di perairan Tanjung Batu petang tadi, menyebabkan tiga individu cedera termasuk dua kanak-kanak.
Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang dan melibatkan sebuah bot penambang yang membawa 36 penumpang termasuk dua kanak-kanak serta tiga kru.
“Siasatan awal mendapati bot penambang tersebut telah bertolak dari Terminal Menumbok pada jam 2.45 petang membawa muatan 36 penumpang termasuk dua kanak-kanak serta tiga orang kru menuju ke Labuan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kebakaran dipercayai bermula di bahagian enjin sebelum merebak ke bahagian lain bot, namun kesemua penumpang dan kru berjaya menyelamatkan diri selepas bot menghampiri kawasan persisiran pantai.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) W.P. Labuan berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya pada pukul 4.15 petang,” katanya.
Tambah beliau, mangsa yang cedera melecur di bahagian badan ialah seorang kru bot lelaki dewasa berusia 29 tahun serta dua kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berusia kira-kira satu dan dua tahun.
“Ketiga-tiga mangsa telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Labuan,” katanya sambil memaklumkan bahawa punca kebakaran masih dalam siasatan pihak JBPM W.P. Labuan.

0 Ulasan