Pegawai bank rugi RM50,000 akibat penipuan skim pelaburan

Gambar hiasan: Pexels / Anna Tarazevich

Seorang pegawai bank di Besut kerugian lebih RM50,000 selepas diperdaya oleh suspek yang menawarkan skim pelaburan tidak wujud melalui laman sosial Facebook.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Saleh, mangsa telah membuat laporan polis pada hari ini selepas menyedari dirinya ditipu dalam pelaburan yang menggunakan nama syarikat Phillip Capital.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, Terengganu telah menerima satu laporan polis hari ini.

"Mangsa merupakan seorang pegawai bank dalam daerah Besut, telah diperdaya oleh suspek yang menawarkan skim pelaburan secara atas talian Facebook yang menggunakan nama syarikat Phillip Capital dengan menjanjikan pulangan keuntungan yang tinggi dalam masa singkat sekitar tarikh 23 November 2025 sehingga repot dibuat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mangsa tertarik dengan tawaran tersebut dan telah diarahkan oleh suspek untuk membuat pembayaran secara berperingkat ke dalam tujuh akaun bank individu tempatan.

“Pelaburan yang ditawarkan adalah tidak wujud dan mangsa telah mengalami kerugian berjumlah RM50,692.00,” katanya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Md Sani turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum menyertai sebarang pelaburan.

“Polis juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam urusan pelaburan yang mana perlu membuat semakan dengan pihak Bank Negara Malaysia atau agensi yang berdaftar agar elak menjadi mangsa kes penipuan pelaburan yang tidak wujud,” katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan