Seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun ditahan polis selepas disyaki mengugut seorang individu menggunakan objek menyerupai sepucuk pistol di lampu isyarat berhampiran Perodua Sungai Choh, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 2.06 petang, semalam.
“Kami telah menerima laporan polis daripada seorang lelaki warga tempatan telah diugut oleh individu yang tidak dikenali menggunakan satu objek menyerupai sepucuk pistol di lampu isyarat Perodua Sg. Choh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, suspek berjaya ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di Jalan Cempaka, Bukit Sentosa dan beberapa barangan dirampas.
Antara barangan yang dirampas adalah sehelai jaket hitam, satu holster pistol bertulis “Micro”, surat kebenaran membawa dan menggunakan senjata dan peluru bernombor 455853, satu topi keledar putih serta sebuah motosikal jenis Honda RS-X bernombor pendaftaran VJU 3769 serta kunci.
“Suspek berumur 54 tahun. Semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu rekod membabitkan jenayah. Keputusan ujian air kencing mendapati suspek negatif,” katanya.
Tambah beliau, suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga lusa bagi membantu siasatan lanjut.

0 Ulasan