Seorang wanita warga Myanmar yang menumpang di rumah kenalannya sejak tiga bulan lalu ditahan polis selepas disyaki mencuri barang milik pengadu termasuk wang tunai RM4,500.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid, pengadu yang merupakan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh anak perempuannya mengenai kehilangan beberapa barangan.
“Pada 28 November lalu kira-kira pukul 1.40 petang, mangsa dimaklumkan oleh anak perempuannya bahawa telefon bimbit, beg bagasi mengandungi pakaian dan wang tunai RM4,500 telah hilang disyaki dicuri oleh suspek seorang perempuan warga Myanmar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pengadu mengenali suspek sejak tiga bulan lalu dan telah menumpangkan wanita itu di rumah kerana tiada tempat tinggal.
“Kejadian berlaku ketika pengadu tiada di rumah lalu suspek telah memasuki bilik tidur utama dan melarikan barang milik pengadu,” katanya.
Tambah beliau, suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 1 Disember lalu kira-kira pukul 11.30 malam di Taman Nirwana, Ampang.
“Pihak polis membuat rampasan telefon bimbit, pakaian dan beg bagasi bagi membantu siasatan,” katanya.
Suspek kini direman selama empat hari bermula 2 hingga 5 Disember bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

0 Ulasan