Lelaki warga asing ditahan miliki dadah

 


Seorang lelaki warga asing ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu serbuan di kawasan ladang sawit di Mukah, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias, suspek berusia 31 tahun ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah kira-kira pukul 11.40 pagi, 3 Disember lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat kira-kira 0.20 gram.

“Keputusan ujian urin ke atas suspek mendapati pekerja ladang sawit itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Suspek kini direman selama empat hari sehingga 8 Disember bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Muhamad Rizal menegaskan komitmen pihaknya dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah disarankan untuk menghubungi talian hotline IPD Mukah 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan