Bung Moktar Radin meninggal dunia

 

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin disahkan meninggal dunia pada pukul 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

Anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar memaklumkan berita sedih itu menerusi hantaran di Facebook.

"Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 5 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).

"Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah," katanya.

Jenazah Allayarham akan dibawa ke Masjid Bandaraya pada pukul 10 pagi hari ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam  Kampung Likas, Kota Kinabalu selepas solat Jumaat.

Difahamkan, Bung Moktar, 66, dimasukkan ke hospital sejak pagi semalam akibat kegagalan buah pinggang.

Allahyarham baru sahaja mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 yang berakhir Sabtu lalu.

Dilahirkan pada 14 September 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Bung Moktar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Bilit sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan dan seterusnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kerjaya beliau bermula sebagai pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Sandakan dari 1987 hingga 1990, sebelum berkhidmat di Majlis Amanah Rakyat (MARA) sehingga 1992. 

Antara tahun 1994 hingga 1999, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah.

Bung Moktar mula aktif dalam politik apabila dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan pada 1999, jawatan yang dipegangnya selama lebih 20 tahun. 

Pada 2020, beliau memenangi kerusi DUN Lamag dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya negeri sehingga 2023.

Selain itu, beliau pernah menjadi Pengerusi Felcra Berhad dari 2013 hingga 2018. 


BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan