Berikut adalah catatan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd. Shahar Abdullah dalam laman Facebook beliau hari ini:
Hari ini, seorang sahabat yang duduk di sisi saya dalam dewan berpulang pergi - Allahyarham DS Bung Moktar.
Hari ini, beliau kembali kepada Pencipta pada hari Jumaat yang mulia; hari yang dipilih, hari yang dijanjikan sebagai perlindungan dari azab kubur bagi insan yang Allah muliakan perjalanannya.
Ramai mengenal ketegasannya, tetapi saya mengenal sisi yang jarang terlihat. Jarinya sentiasa tergenggam tasbih bila berada di dalam dewan.
Zikir perlahan yang sering melingkari ruang di antara kami, zikir yang tidak kuat, tetapi cukup untuk membuat hati ini merasa damai.
Itulah bunyi yang kini tinggal sebagai kenangan.
Dalam video ini, beliau sedang membetulkan pin saya; satu detik kecil, tetapi penuh makna.
Begitulah beliau: membantu dalam senyap, hadir dengan ihsan, lebih banyak lembutnya daripada yang dunia sempat tahu.
Semoga Allah melapangkan perjalanannya, mengampunkan segala salahnya, dan menempatkannya di taman-taman yang tenang.
Pergimu tidak hilang, hanya berpindah ruang,
Zikirmu masih hadir, mengusap relung yang bimbang. Budi yang kau tinggal, menjadi doa yang panjang, Semoga damai menjemputmu, dalam kasih Allah yang lapang.
Al-Fatihah. Damailah Sahabatku di sana.

0 Ulasan