Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli meminta kerajaan melakukan rombakan menyeluruh terhadap sistem komunikasi negara dengan menekankan bahawa Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) hanyalah sebahagian kecil daripada masalah yang lebih besar.
Menurut beliau, isu sebenar bukan bermula dengan J-KOM, sebaliknya kegagalan kerajaan sejak era internet dan media sosial dalam mencari formula komunikasi yang berkesan.
“Saya ditanya tentang fungsi dan keberkesanan J-KOM dalam menyampaikan maklumat. Satu benda yang orang jarang nampak: masalah kita bukan bermula dengan J-KOM. J-KOM cuma simptom,” katanya.
Rafizi menegaskan, hampir semua kerajaan gagal menjelaskan dasar dengan jelas tanpa membelanjakan ratusan juta ringgit wang rakyat bagi membina ‘naratif’.
“Sebab tu saya selalu jawab bila orang tanya, ‘Kenapa YB tak selalu keluar TV, tak banyak dalam surat khabar?’ Jawapan dia mudah: saya tak nak bayar,” ujarnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa penampilan menteri di televisyen dan media bukanlah liputan percuma, sebaliknya menggunakan bajet kerajaan yang akhirnya ditanggung rakyat.
“Ramai yang tak tahu, setiap kali ada Menteri yang muka dia muncul selalu di TV dan media, itu biasanya bukan ‘coverage percuma’. Ada bajet, dan yang bayar, akhirnya, ialah rakyat. Dari zaman Datuk Seri Najib Razak sampai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.
Rafizi berkata, setiap kali kerajaan mengumumkan program, bajet pengiklanan boleh mencecah jutaan ringgit termasuk bayaran kepada pempengaruh media sosial.
“Influencer dua minit cakap depan kamera pun boleh sampai puluh ribu,” jelasnya.
Sebaliknya, beliau memilih pendekatan lebih ringkas dengan merakam dan menyunting sendiri video menggunakan telefon pintar tanpa melibatkan kru produksi.
“Saya duduk depan iPhone, rakam sendiri, edit sendiri. Tak ada lighting crew, tak ada tujuh hingga lapan orang ikut belakang. Yang penting ialah tak membazirkan duit rakyat,” katanya.
Rafizi menambah, peruntukan RM16 juta kepada J-KOM hanyalah cebisan kecil daripada masalah lebih besar iaitu cara kerajaan berkomunikasi yang masih bergantung kepada model lama.
“Sebab itu saya kata, J-KOM RM16 juta cuma cebisan kecil daripada masalah lebih besar: cara kerajaan berkomunikasi masih bersandar pada model lama – beli iklan, beli ruang, beli perhatian. Kalau kita betul-betul nak jaga wang rakyat, kita kena berani rombak sistem, bukan sekadar tukar nama jabatan,” tegasnya.

0 Ulasan