Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran menekankan bahawa kekalahan tersebut tidak bererti semangat ahli parti turut tewas.
Menurut Abdul Rahman, beliau memahami rasa kecewa dan hampa yang dirasai seluruh ahli UMNO dan BN terhadap keputusan PRN-17 yang tidak seperti diharapkan.
Namun, katanya, keputusan itu harus dijadikan peringatan bahawa perjuangan UMNO dan BN jauh lebih besar daripada satu pilihan raya atau mana-mana individu.
“Seperti generasi UMNO Sabah yang terdahulu, kita bangkit, kita belajar, dan kita kembali dengan lebih kuat. Itulah semangat UMNO Sabah. Itulah semangat Sabah.
Hari ini bukan hari putus asa, ia adalah hari bermuhasabah, hari pembaharuan, hari membina tekad baharu,” katanya menerusi laman Facebook semalam.
Abdul Rahman menambah, UMNO dan BN akan menggunakan masa ini untuk lebih mendengar denyut nadi rakyat, merapatkan hubungan dengan masyarakat, memperbaharui iltizam serta memperkukuhkan kekuatan parti.
Beliau yakin apabila pilihan raya akan datang berlangsung, UMNO dan BN akan tampil lebih bersedia.
Dalam pada itu, beliau menyeru anak muda, akar umbi serta para pemimpin yang memikul panji parti agar terus teguh bersama UMNO dan BN.
“Kerana harapan bukan sesuatu yang hilang pada hari pilihan raya. Harapan adalah sesuatu yang hidup dalam diri kita. Sesuatu yang tidak boleh dirampas oleh mana-mana keputusan.
Dan selagi harapan itu kita jaga, selagi kita bersatu, dan selagi kita terus berkhidmat dengan ikhlas, masa depan UMNO Sabah akan kembali bersinar,” katanya.
Abdul Rahman turut menyatakan keyakinan bahawa dengan sokongan rakyat serta semangat ahli yang tidak pernah padam, UMNO dan BN akan kembali lebih gagah daripada sebelumnya.
Pada PRN-17 Sabah kelmarin, BN hanya memenangi enam daripada 45 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus mencatatkan pencapaian terburuk parti itu dalam sejarah pilihan raya di negeri berkenaan.

0 Ulasan