PAS mengumumkan keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Perlis terhenti serta-merta mengikut peruntukan di bawah Perlembagaan PAS.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Beliau berkata, tiga wakil rakyat yang terlibat ialah ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim.
"Adalah dimaklumkan bahawa, Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada hari ini, Rabu 24 Disember 2025, telah membuat ketetapan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025), bahawa ahli-ahli Badan Perundangan PAS yang berikut adalah terhenti serta-merta keahliannya sebagai ahli PAS.
"PAS akan memaklumkan ketetapan ini secara rasmi kepada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis bagi tujuan memenuhi Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 serta-merta," katanya dalam kenyataan media malam tadi.
Keputusan itu susulan tindakan mereka yang didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli, sekali gus disifatkan boleh menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri.

0 Ulasan