Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua individu selepas tular sebuah rakaman video memaparkan tindakan seorang individu berpakaian wanita yang memakai tudung sambil meminum minuman keras di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tangkapan membabitkan seorang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan berusia 22 serta 24 tahun itu dilakukan di sekitar Subang Jaya, Selangor kira-kira pukul 4.30 petang semalam.
Beliau berkata, siasatan awal pihak polis mendapati individu yang memakai tudung dan meminum minuman keras di dalam rakaman video berkenaan sebenarnya adalah merupakan seorang lelaki.
Menurut beliau, kes kini sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan, jika disabitkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun atau tidak lebih dari lima tahun.
"Bagi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, jika disabitkan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan media semalam.
Kumar menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja tidak menjaga sensitiviti keagamaan sehingga boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam masyarakat.
Katanya, PDRM turut menggesa orang ramai supaya lebih bijak dan berhemah ketika menggunakan media sosial bagi mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian negara.
Ujar beliau, semua pihak diingatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kandungan yang menyentuh isu sensitif terutamanya melibatkan aspek agama, kaum dan institusi diraja (3R).

0 Ulasan