PAS memandang serius keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah berikutan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, walaupun keputusan badan kehakiman perlu dihormati, ia tidak seharusnya menafikan hak kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
"PAS akur bahawa keputusan-keputusan badan kehakiman hendaklah sentiasa dihormati sebagai antara ttnggak utama kedaulatan undang-undang, namun ia tidaklah sehingga menafikan hak dan kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat (freedom of expression) yang juga dijamin oleh Perlembagaan, terutama berkaitan keputusan mahkamah yang kelihatan melemahkan, menafsir semula atau mengetepikan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan secara eksplisit dan eksklusif kepada Yang Di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri.
"Umum memahami di bawah Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memberi pengampunan, menangguhkan atau mengurangkan hukuman adalah merupakan kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja dan Yang Di-Pertua Negeri.
"Ia adalah kuasa eksekutif yang dijalankan melalui Lembaga Pengampunan dan tidak tertakluk kepada persetujuan kehakiman, sokongan pentadbiran atau penerimaan politik," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Takiyuddin berkata, PAS berpendirian bahawa isu titah adendum tersebut mestilah dilaksanakan secara serta-merta tanpa sebarang halangan pentadbiran mahupun kehakiman.
"Oleh itu PAS dengan tegas berpandangan isu titah adendum yang merupakan sebahagian keputusan langsung Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 mestilah diterima, dilaksanakan dan diberikan kuat kuasa undang-undang secara serta-merta tanpa bantahan kehakiman atau pentadbiran seperti mana yang berlaku dalam kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2018.
"Perlu ditegaskan bahawa prinsip-prinsip Perlembagaan tidak boleh sama sekali dilaksanakan secara selektif mengikut keperluan politik atau individu yang berbeza.
"Perlembagaan tidak menerima hierarki atau kelas dalam kalangan rakyat terutama dalam menjalankan kuasa pengampunan Di-raja.
"Kewujudan persepsi berlakunya layanan yang tidak setara pastinya akan merosakkan kepercayaan awam terhadap sistem pemerintahan yang terbina berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang," tegasnya.
Beliau turut menyatakan kebimbangan bahawa sebarang cubaan meletakkan kuasa pengampunan di bawah kawalan birokrasi hanya akan menghakis kedaulatan Raja-Raja.
"Justeru sebarang usaha atau percubaan untuk menempatkan kuasa dan budi bicara pengampunan Di-Raja ini di bawah kawalan kehakiman atau birokrasi, berpotensi besar untuk menceroboh ketetapan Perlembagaan mengenainya.
"PAS percaya apa-apa keputusan, arahan atau petunjuk yang dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong dalam menjalankan kuasa budi bicaranya di bawah peruntukan tadi adalah jelas berada dalam kerangka Perlembagaan.
"Justeru sesuatu kekaburan pentadbiran, kehilangan dokumentasi, pendedahan yang bertangguh atau pengakuan yang berpilih-pilih tidak boleh sama sekali digunakan untuk meneutralkan, menangguhkan atau mempersoalkan kesahihan tindakan Di-Raja," jelas beliau.
Sehubungan itu, PAS menyokong penuh hak Najib untuk memfailkan rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi bagi memastikan proses keadilan berjalan secara adil tanpa prejudis.
"Akhirnya, PAS menggesa semua cabang kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan supaya bertindak dengan berani, telus dan setia berdasarkan prinsip-prinsip Perlembagaan supaya keadilan akan tertegak secara konsisten dan kehormatan serta kedaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan raja-raja terus terpelihara," katanya.

0 Ulasan