Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengingatkan pemimpin-pemimpin DAP bahawa rakyat Sabah terlebih dahulu meraikan kemenangan kerana telah membungkus DAP di kesemua lapan kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Menurut beliau, sudah tentu ada sebab rakyat Sabah menolak DAP.
"Ramai sangat pendusta macam Tony Pua. Dia tuduh orang Datuk Seri Najib Razak sebagai 'pencinta penyangak'.
"Jangan ingat DAP bersih," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Semalam, Tony dan Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang tidak memihak kepada Najib dalam kes titah adendum merupakan sesuatu yang patut diraikan.
Mohd. Puad turut mencabar Bee Yin agar berani berterus-terang mengenai maksud kenyataannya itu.
"Apa yang dia maksudkan dan kenapa? Dia tidak boleh lari.
"UMNO tidak akan berkompromi dalam mempertahankan kuasa raja-raja Melayu," katanya.

0 Ulasan