PAS Melaka menyelar tindakan DAP Melaka yang cuba mencampuri urusan hal ehwal Islam dengan mempersoalkan saranan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berhubung hiasan Krismas di premis yang memiliki pensijilan halal.
Ketua Penerangannya, Ahmad Bilal Rahudin berkata, saranan JAIM agar hotel dan premis berkenaan tidak memasang hiasan tersebut adalah berdasarkan undang-undang sedia ada yang terpakai khusus kepada pemegang sijil halal secara sukarela.
Beliau menegaskan, langkah tersebut selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang negeri serta Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan Akta Perihal Dagangan 2011.
"DAP Melaka wajar menghentikan sikap mencampuri urusan hal ehwal Islam dengan mempersoalkan tindakan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berhubung saranan agar hotel dan premis yang memiliki pensijilan halal tidak memasang hiasan Krismas.
"Tegas kami nyatakan bahawa apa yang dilaksanakan oleh JAIM bukan tindakan sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan undang-undang sedia ada yang terpakai khusus kepada orang Islam serta premis yang secara sukarela memohon dan memegang sijil halal," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ahmad Bilal, manual dan akta tersebut jelas menetapkan tanggungjawab pemegang sijil halal untuk mematuhi syarat termasuk aspek pengurusan dan sensitiviti yang boleh menjejaskan persepsi serta keyakinan pengguna Muslim.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pensijilan halal bukan satu paksaan sebaliknya pilihan sukarela pemilik premis, namun mereka wajib mematuhi garis panduan ditetapkan apabila memilih untuk mendapatkan manfaat kepercayaan awam melalui sijil tersebut.
"Perlu ditegaskan bahawa hal ehwal Islam adalah urusan negeri, dan JAIM mempunyai kuasa penuh untuk mengeluarkan garis panduan demi menjaga kesucian agama serta kepentingan pengguna Muslim.
"Oleh itu, Pemuda DAP tidak mempunyai asas perundangan atau moral untuk mempertikaikan saranan ini, apatah lagi menekan pihak berkuasa agama supaya mengubah pendirian mereka," jelasnya.
Ahmad Bilal turut memberi amaran bahawa sebarang usaha melemahkan autoriti JAIM akan memberi isyarat buruk terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan selain mencetuskan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa mempertahankan prinsip agama berlandaskan undang-undang bukan satu sikap ekstrem, sebaliknya merupakan sebuah tanggungjawab.
"Label-label seperti tidak bertoleransi, tidak harmoni atau ekstremis hanya mencerminkan kegagalan memahami sistem perundangan dan realiti masyarakat majmuk negara ini.
"Justeru, kami menegaskan sekali lagi: DAP tidak perlu sibuk mencampuri urusan hal ehwal Islam di Melaka. Hormatilah undang-undang, hormatilah autoriti agama negeri, dan hormatilah hak umat Islam," katanya.
Tambah beliau, keharmonian negara hanya dapat dipelihara apabila setiap pihak menghormati batas bidang kuasa undang-undang dan bukannya mempolitikkan agama demi kepentingan sempit.

0 Ulasan