Pemuda Amanah NS mahu ambil semula DUN Lenggeng daripada UMNO

 


Pemuda Amanah Negeri Sembilan bertekad untuk mengambil semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng yang disandang UMNO.

Pengarah Biro Pilihan Rayanya, Umar Mokhtar Abdullah berkata, usaha itu akan dipacu dengan gerak kerja tersusun, mobilisasi jentera yang mantap, serta pendekatan politik yang lebih dekat dengan denyut nadi anak muda dan masyarakat setempat.

Pada masa yang sama, menurut beliau, mereka komited  untuk mempertahankan kerusi DUN Paroi dan DUN Klawang agar kekal milik Amanah dalam pilihan raya umum akan datang. 

"Kedua-dua kerusi ini merupakan tunjang kekuatan Amanah di Negeri Sembilan serta simbol keyakinan rakyat terhadap politik berintegriti, progresif dan berdaya tahan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Umar Mokhtar menambah, Amanah yang berusia 11 tahun kini semakin matang dan teguh dalam mendepani pelbagai dugaan dan cabaran.

Beliau menegaskan bahawa kematangan itu mesti diterjemahkan dalam bentuk strategi lapangan, kesiapsiagaan jentera, serta penguasaan naratif politik yang lebih segar dan efektif. 

"Pemuda Amanah akan terus memperkukuh rangkaian akar umbi, memperhebat komunikasi digital, dan memastikan mesej politik parti sampai kepada setiap lapisan rakyat.

"Dengan semangat kebersamaan dan disiplin organisasi, Pemuda Amanah Negeri Sembilan yakin bahawa Amanah akan terus menjadi pilihan rakyat serta kekal teguh di pentas politik negeri dan negara," katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan