Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjelaskan bahawa pelantikan ejen-ejen pemungut telah dilaksanakan sejak 2016, sekali gus menafikan kenyataan yang menggambarkan pelantikan ejen pemungut sebagai penswastaan perkhidmatan JPJ yang berpunca daripada salah faham.
JPJ turut mengesahkan setakat hari ini, jabatan itu telah melantik sebanyak 10 ejen pemungut.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ejen-ejen pemungut tersebut tidak mempunyai sebarang peranan dalam pemungutan melalui saluran rasmi iaitu aplikasi MyJPJ, MySikap dan Pejabat JPJ yang sedang dan akan terus dikendalikan oleh JPJ.
Sebaliknya, kata beliau, pelantikan ejen-ejen pemungut membenarkan perkhidmatan JPJ untuk ditawarkan di saluran tambahan.
"Sebagai contoh, apabila sesebuah platform insuran kenderaan dilantik sebagai ejen pemungut JPJ, ini membolehkan platform tersebut untuk turut menawarkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) apabila pelanggan membeli insuran kenderaan.
"Namun, pengguna masih mempunyai pilihan untuk memperbaharui LKM secara berasingan dan secara langsung dengan JPJ melalui aplikasi MyJPJ, MySikap atau di Pejabat JPJ," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Aedy Fadly berkata, antara syarikat-syarikat yang telah dilantik sebagai ejen pemungut sebelum ini termasuk POS Malaysia Berhad, PUSPAKOM Sdn. Bhd., MyEG Services Sdn. Bhd., Konsortium Multimedia Swasta Sdn. Bhd., TCSENS Sdn. Bhd., serta TNG Sdn. Bhd.
Beliau turut menegaskan pelantikan ejen pemungut tidak melibatkan sebarang kos kepada pihak kerajaan.
"Mana-mana syarikat yang berkelayakan dan ingin menawarkan nilai tambah melalui perkhidmatan JPJ boleh membuat permohonan kepada JPJ.
"Semua permohonan akan dipertimbangkan mengikut prosedur selaras dengan kelulusan oleh Kementerian Kewangan seperti yang telah dilaksanakan sekian lama," jelasnya.
Katanya, JPJ komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, selamat dan mudah diakses oleh orang ramai melalui pengawalseliaan berterusan ke atas semua agen pemungut yang dilantik.
Aedy Fadly menambah, JPJ juga akan terus memastikan integriti data, keselamatan transaksi serta tahap pengalaman pengguna berada di tahap optimum selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh perkhidmatan digital sektor awam.

0 Ulasan