Polis cari suspek cederakan pelancong asing

 

Polis sedang mengesan saksi kejadian berhubung insiden mendatangkan kecederaan terhadap seorang pelancong wanita warga asing di kawasan pusat bandar Kota Kinaba;i, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda mengesahkan pihaknya telah menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang wanita warga China berusia 31 tahun pada pukul 7 petang semalam,

Menurut beliau, kejadian itu dilaporkan berlaku di Jalan Kota Kinabalu Lama 2, berhampiran bangunan Public Bank.

"Siasatan awal mendapati semasa kejadian, mangsa sedang berjalan kaki bersama suaminya di lokasi tersebut sebelum mendakwa telah terkena satu objek yang disyaki diacik dari arah sebuah kenderaan yang sedang bergerak," katanya dalam  kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan lebam pada bahagian badan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

"Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali," tambahnya.

Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang berada di lokasi kejadian pada waktu tersebut, atau mana-mana pemilik kenderaan yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka yang melalui Jalan Kota Kinabalu Lama 2 / Jalan Pantai sekitar pukul 6.45 petang hingga 7.15 malam pada tarikh kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat.

Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat, Sarjan Damian Frederick Frederick Devi di talian 017-6561513, atau hubungi Bilik Gerakan IPD Kota Kinabalu di talian 088-310208.


BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan