Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mencadangkan supaya PAS segera meninggalkan Perikatan Nasional (PN) selepas wakil rakyat Bersatu, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.
Beliau mendakwa ada konspirasi ekoran lima ADUN Bersatu yang menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli tidak dipecat.
Puad berkata, itu membuktikan tiada setiakawan dalam PN.
"Nampak Bersatu ambil kesempatan. Ini peluang Bersatu menguasai satu negeri.
"Tiada kemuafakatan dalam PN untuk selesaikan konflik sesama mereka," katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Beliau juga pelik bagaimana tiga ADUN dari PAS boleh berubah pendirian kerana walak dan taksub ahli PAS terhadap parti terlalu ekstrem.
Puad mendakwa ada konspirasi di belakang PAS.
"Ini didedahkan lagi oleh ADUN Beseri, Haziq Asyraf. Menurutnya ada broker pujuk wakil rakyat menandatangani SD tarik sokongan daripada Shukri Ramli.
"Ada lagi kerajaan tebuk atap," dakwanya.

0 Ulasan