Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berpandangan, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli telah menerima karma kerana menghasut dalam isu 1MDB, NFC dan Tabung Haji.
Beliau meminta Rafizi jangan bernostalgia kerana Ahli Parlimen Pandan itu bukan jaguh kes 1MDB, NFCorp dan Tabung Haji.
Sebaliknya, kata Puad, Rafizi ialah sosok penghasut yang memanipulasi maklumat bocor.
"Partinya tidak mengiktiraf itu adalah jasa besar. Sebab itu kekalahan dan perletakan jawatan sebagai menteri ekonomi tidak diratapi.
"Ia dianggap karma untuk seorang penghasut," katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Puad turut mempersoalkan mengapa Rafizi tidak menyanggah hujah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abd. Rahman Sebli dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes mahkamah yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.
Menurut beliau, Abd. Rahman berhujah bahawa "Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil" manakala Anwar mengakui pertuduhan terhadap Perdana Menteri keenam itu adalah dendam, terburu-buru dan beracun.
"Rafizi mengingatkan, dia menulis 123 artikel mengenai kes 1MDB. Tetapi kenapa tidak menyanggah hujah Abd Rahman dan PMX?
"Justeru Rafizi jangan ingat dia jaguh 1MDB kerana 123 artikel tersebut. Dia jangan ingat dia jaguh NFCorp. Banyak pihak teraniaya kerana fitnah NFC Feedlot dan juga Tabung Haji," jelasnya.
Puad menambah, Rafizi sepatutnya ingat ramai yang jadi mangsa dalam kes NFC malah akhirnya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan tiga anaknya tidak bersalah.
Bahkan katanya, Mahkamah Persekutuan memutuskan Public Bank bersalah kerana membocorkan maklumat akaun NFCorp yang digunakan oleh Rafizi memfitnah keluarga Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil selama 12 tahun.
"Public Bank kena bayar RM90 juta. Masihkah Rafizi ingat?" soalnya.
Puad berkata, Rafizi juga disabitkan bersalah dan dihukum 30 bulan penjara dalam kes BAFIA tetapi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membebaskannya.
Beliau berkata, Rafizi selamat kerana Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas menarik balik rayuan.
"Dalam kes Tabung Haji, mahkamah putuskan Rafizi mesti membela diri.
"Tetapi pada hari pertama prosiding Tommy arah pendakwa raya tarik balik kes. Apakah Rafizi ingat?" katanya.
Puad memberitahu, Rafizi dihukum penjara selama 18 bulan dalam kes OSA dan beliau merayu hukuman penjara ditukar kepada bon berkelakuan baik selama dua tahun.
"Kekal bersalah cuma hukuman ditukar. Dan Tommy tidak bantah. Luar biasa," katanya.

0 Ulasan