3 pengarah syarikat didenda sebab gagal serah simpan penyata tahunan

Sebuah syarikat dan tiga pengarah telah disabitkan kesalahan di Mahkamah Majistret Temerloh pada 6 Januari lalu atas pertuduhan gagal membuat serah simpan penyata tahunan kepada Pendaftar bagi tahun kalendar 2024 di bawah Seksyen 68(1) Akta Syarikat 2016.

Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Syarikat Zabiliy Marketing Sdn. Bhd., Zainudin Ismail, Nor Khairiah Md Dahan dan Saadiah Hassan mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.

Katanya, seksyen 68(1) Akta Syarikat 2016 memperuntukkan bahawa setiap syarikat hendaklah menyerah simpan penyata tahunan kepada Pendaftar bagi setiap tahun kalendar dalam tempoh tidak lewat daripada 30 hari dari ulang tahun pemerbadanan syarikat.
 
"Kegagalan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan merupakan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 68(9) Akta dengan denda tidak melebihi RM50,000 dan sekiranya kesalahan itu berterusan, denda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar menetapkan hukuman denda sebanyak RM4,000 masing-masing ke atas Zabiliy Marketing Sdn. Bhd. serta Nor Khairiah dan Saadiah. 

Manakala Zainudin pula didenda sebanyak RM2,000 dan semua tertuduh telah menjelaskan denda tersebut pada hari yang sama.

Pendakwaan telah dikendalikan oleh pegawai pendakwa SSM, Loganath Selvam manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

SSM memberi peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap individu-individu yang didapati melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan di bawah undang-undang yang dikawal selia oleh SSM.







Catat Ulasan

0 Ulasan