Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) amat kecewa terhadap segelintir pemilik premis perniagaan yang masih tegar meminggirkan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan premis perniagaan mereka.
Dalam kenyataan media hari ini, DBP berkata, isu yang kembali tular dalam media sosial baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa masih ada pihak yang sengaja melanggar peraturan yang telah ditetapkan serta mencabar kedaulatan bahasa rasmi negara demi kepentingan perniagaan.
“Tindakan mengetepikan penggunaan bahasa kebangsaan ini merupakan satu bentuk pelanggaran nyata terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan tunggak jati diri negara,” kata kenyataan itu.
DBP turut mengingatkan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan dan papan premis perniagaan bukan merupakan satu pilihan, tetapi merupakan satu kewajipan yang perlu dipatuhi oleh setiap pengusaha perniagaan.
Menurut kenyataan itu, mengikut peraturan sedia ada di bawah Undang-Undang Kecil Iklan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bahasa kebangsaan mestilah dipaparkan secara jelas dengan saiz yang sesuai pada papan iklan dan diletakkan pada kedudukan yang lebih dominan berbanding dengan bahasa-bahasa lain.
“Pihak kami mendapati masih ada pemilik premis yang meletakkan keutamaan kepada bahasa asing sehingga membelakangkan bahasa kebangsaan.
"Sikap tidak bertanggungjawab seperti ini tidak boleh lagi diterima sama sekali atas alasan mahu menjaga kepentingan perniagaan semata-mata,” kata DBP.
Tambah kenyataan itu, kegagalan berulang menunjukkan bahawa pendekatan nasihat dan bimbingan yang diberikan selama ini telah diremehkan oleh segelintir pemilik premis yang tidak bertanggungjawab.
“Oleh yang demikian, DBP mendesak semua pihak berkuasa tempatan (PBT) agar mengambil tindakan penguatkuasaan yang paling keras dan menyeluruh dengan segera. Tiada lagi ruang rundingan,” tegas kenyataan tersebut.
DBP turut menyatakan bahawa tempoh nasihat harus diberikan kepada pemilik premis yang telah terbukti melanggar syarat lesen iklan mereka.
“DBP juga memohon kerjasama daripada orang ramai agar terus melaporkan sebarang pelanggaran bahasa yang dikesan di kawasan awam supaya tindakan tegas dapat diambil oleh pihak yang berkuasa,” katanya.
DBP melalui inisiatif DBP Sah Bahasa sentiasa bersedia untuk memastikan setiap penggunaan bahasa pada iklan adalah tepat dan mematuhi standard bahasa yang betul tanpa menjejaskan kreativiti perniagaan.
“Memartabatkan bahasa kebangsaan merupakan tanggungjawab semua pihak sebagai tanda hormat kepada kedaulatan undang-undang dan maruah negara kita yang merdeka,” kata kenyataan itu lagi.

0 Ulasan