Geramm kecam pegawai kanan GLC intimidasi wartawan wanita

 

Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam tindakan intimidasi oleh seorang pegawai kanan pengurusan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terhadap seorang wartawan wanita kerana mengemukakan soalan kepada seorang menteri dalam sidang media Isnin lalu.

Geramm berdiri teguh bersama Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) yang pada awal hari ini turut mengecam serangan fizikal terhadap salah seorang ahlinya.

"Tindakan pelaku yang didakwa menarik kad media wartawan berkenaan yang digantung di lehernya merupakan satu bentuk intimidasi yang jelas, malah boleh disifatkan sebagai serangan fizikal," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Geramm menegaskan semula pendirian bahawa tiada mana-mana wartawan harus diganggu atau diintimidasi kerana mengemukakan soalan yang sah demi kepentingan awam.

Katanya, tindakan sedemikian mencerminkan sikap angkuh dan tidak mempunyai tempat dalam sebuah masyarakat demokratik, manakala menyasarkan wartawan wanita yang sedang menjalankan tugasnya hanya memperlihatkan unsur misogini yang mendalam.

"Kami menggesa pelaku supaya memohon maaf secara langsung kepada wartawan yang terjejas, dan bukan melalui orang tengah atau kepada syarikat media.

"Walaupun ketika ini belum wujud undang-undang khusus yang melindungi wartawan di Malaysia daripada cubaan mengganggu atau menyekat laporan mereka ketika bertugas di lapangan, undang-undang sedia ada yang mengawal perbuatan serangan atau gangguan tetap terpakai," tegasnya.

Geramm kekal tegas dengan pendirian bahawa tanpa mengira perbezaan pandangan terhadap sesuatu laporan atau bentuk soal jawab, pekerja media tidak seharusnya menjadi sasaran tindakan yang menjejaskan keselamatan, maruah atau kebebasan mereka untuk menjalankan tugas.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan