Kerajaan negeri Terengganu menguatkuasakan larangan penuh terhadap aktiviti busking pada 10 malam terakhir Ramadan di seluruh kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap daerah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah dalam kenyataan media hari ini berkata, ketetapan itu diputuskan selepas mengambil kira pandangan dan maklum balas pihak berkepentingan termasuk hasil Sesi Libat Urus pada 12 Januari 2026 bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Persatuan Busker Negeri Terengganu, Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Kemaman.
Menurut beliau, larangan tersebut berkuat kuasa sepanjang 21 hingga 30 Ramadan 1447H bagi menjaga kesucian bulan mulia itu. Katanya, kerajaan negeri bersetuju untuk melarang sepenuhnya aktiviti busking pada 10 malam terakhir Ramadan di seluruh kawasan pentadbiran PBT setiap daerah.
"Bagaimanapun, aktiviti busking dibenarkan pada malam-malam lain sepanjang Ramadan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan PBT masing-masing.
"Antara syarat utama ialah masa persembahan hanya dibenarkan dari pukul 9.30 malam hingga 12.00 tengah malam, lokasi persembahan mestilah tidak berhampiran masjid atau surau dengan jarak melebihi 500 meter, manakala hanya persembahan bercorak ketuhanan termasuk nasyid, lagu-lagu seumpamanya serta lagu raya dibenarkan," katanya.
Wan Sukairi menegaskan, ketetapan itu bertujuan memastikan keharmonian, keselamatan dan keselesaan masyarakat sepanjang Ramadan.
Beliau turut menekankan bahawa PBT di setiap daerah diminta tidak mengenakan fi atau caj yang tinggi kepada busker yang mematuhi syarat ditetapkan.
Beliau menyatakan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Portfolio Kerajaan Tempatan dan Perumahan kali pertama bagi tahun ini.
Kerajaan negeri menyeru semua pihak agar mematuhi ketetapan tersebut demi menjaga kesucian bulan Ramadan dan memastikan suasana harmoni di seluruh Terengganu.

0 Ulasan