Masuk prasekolah 5 tahun, darjah satu 6 tahun mulai 2027 - Anwar

 

Kemasukan murid ke prasekolah akan bermula pada usia lima tahun manakala ke darjah satu ditetapkan pada usia enam tahun mulai 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, ibu bapa boleh mendaftarkan anak-anak ke tahun satu secara sukarela seawal usia enam tahun bermula tahun hadapan.

“Kita galakkan ibu bapa yang bersedia dari sekarang supaya mendaftar anak-anak berumur lima tahun untuk masuk prasekolah.

"Prasekolah sekarang ini kita beri tumpuan seluruh sistem prasekolah itu kita minta Kementerian Pendidikan ambil alih dan selaraskan mulai umur lima tahun dan darjah satu pula bermula umur enam tahun,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan akan menyalurkan peruntukan bagi meningkatkan bukan sahaja kemudahan sekolah rendah dan menengah, tetapi juga mutu pengajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

“Mutu sekolah itu dipertikai, kemudahan asas dan sebagainya, pada 2023, saya luluskan RM1 bilion hanya nak selesaikan masalah tandas sahaja.

"Setiap Jumaat saya solat Jumaat, mesti anak-anak sekolah datang, saya tanya masih ada lagi (tandas rosak), kita akan cuba pantau dan perbaiki,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan akan memilih lima sekolah kebangsaan dan lima sekolah menengah kebangsaan di setiap daerah untuk dilengkapi dengan kemudahan asas terbaik.

“Saya sudah maklum kepada Kementerian Kewangan bincang dengan Kementerian Pendidikan apa yang kurang, ini bukan sekolah asrama penuh atau sekolah menengah sains, ini sekolah di daerah-daerah,” tambahnya.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan