PAS Negeri Sembilan membantah sekeras-kerasnya pendekatan secara tidak langsung Kerajaan Persekutuan dalam memberi laluan kepada pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Ketua Penerangannya, kenyataan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju mana-mana pelajar yang memperoleh kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah layak memohon kemasukan ke universiti awam, jelas membuka ruang kepada pengiktirafan UEC secara tersirat.
"PAS Negeri Sembilan menegaskan bahawa keadilan dalam sistem pendidikan di Malaysia mesti ditegakkan. Semua pihak tanpa pengecualian seharusnya tertakluk dan patuh kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan.
"Pelajar yang mengikuti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diwajibkan mengambil sekurang-kurangnya enam mata pelajaran teras, dan sebarang sistem pendidikan lain juga perlu mematuhi prinsip serta standard yang sama demi memastikan keadilan kepada semua pelajar," katanya dalam kenyataan media semalam.
Menurut beliau, sebarang usaha mengiktiraf UEC, sama ada secara langsung atau melalui kaedah halus, adalah bercanggah dengan dasar pendidikan nasional serta boleh menimbulkan ketidakadilan dalam sistem pendidikan negara.
"Isu ini wajar dibincangkan secara telus, terbuka dan berprinsip, bukannya melalui keputusan senyap yang mengelirukan rakyat," jelasnya.

0 Ulasan