American Doctor karya anak Malaysia bawa suara Gaza ke peringkat global

 

Tayangan perdana AMERICAN DOCTOR, sebuah dokumentari arahan pembuat filem kelahiran Pulau Pinang, Poh Si Teng, telah berlangsung kelmarin di Festival Filem Sundance 2026, salah satu festival dokumentari paling berprestij di dunia. Dokumentari tersebut ditayangkan dalam kategori pertandingan Dokumentari A.S.

Poh Si Teng ialah pembuat filem yang pernah menerima pencalonan Oscar untuk dokumentari pendek St. Louis Superman dan pemenang Anugerah Emmy baru-baru ini atas peranannya selaku penerbit eksekutif Patrice: The Movie. Dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia, beliau mengaitkan didikan yang diterimanya dengan pemupukan nilai belas kasihan, tanggungjawab, dan kejelasan moral yang mendorongnya menghasilkan AMERICAN DOCTOR.

Dirakam di Gaza, Jordan dan Amerika Syarikat, filem ini menampilkan kisah tiga doktor dari Amerika Syarikat — seorang berketurunan Palestin, manakala dua lagi beragama Yahudi dan Zoroastrian — yang berkhidmat di Gaza dan kemudian mempertaruhkan kerjaya mereka untuk berjuang dan membela nasib rakan-rakan sekerja serta para pesakit di Palestin. Dirakam sepenuhnya dalam gaya vérité (naratif realiti yang berkembang secara spontan), filem ini bermula di sebuah hospital di Gaza, kemudian membawa penonton ke dewan Kongres AS, menelusuri tanggungjawab etika para doktor yang bertugas dalam situasi peperangan dan berdepan tekanan politik.

Nilai-nilai yang saya hayati semasa membesar di Malaysia, bersolidariti bersama individu-individu lain dan bertindak dengan berpandukan hati nurani, adalah inti pati filem ini,” kata Teng. “Saya amat berbangga kerana rakyat Malaysia memberi kepercayaan terhadap filem ini sejak dari mula lagi. Kedermawanan mereka menjadikan American Doctor satu realiti.

AMERICAN DOCTOR secara rasmi disenaraikan sebagai kerjasama produksi Malaysia, bersama rakan kongsi dari Amerika Syarikat, Palestin, Qatar, dan Denmark. Sokongan Malaysia amat penting pada detik kritikal dalam penghasilan filem ini, sekali gus membuktikan komitmen berterusan negara berkenaan terhadap penceritaan kemanusiaan dan perjuangan membela nasib rakyat Palestin.

Penerbit bersama yang berpangkalan di Gaza, Mohammed Sawwaf dan pengarah fotografi Ibrahim Al Otla memainkan peranan penting dalam mendokumentasikan situasi sebenar di hospital semasa genosid berlaku. Kedua-dua pembuat filem ini berasa sangat bangga kerana menjadi sebahagian daripada projek yang disokong oleh rakyat Malaysia justeru membolehkan kisah tentang Gaza dan warganya disampaikan secara teliti, tepat, dan bermaruah.

“Saya amat berterima kasih atas sokongan Malaysia. Rakyat Malaysia sentiasa mendengar kisah Palestin dengan empati dan kejelasan moral.

“Komitmen Malaysia terhadap dokumentari seperti yang kami hasilkan adalah sangat bermakna. Dokumentari adalah saksi awam yang merakam kesaksian, memastikan memori tidak dipadamkan, dan membantu penonton memahami realiti melalui bukti, bukan slogan. Melalui filem ini, Malaysia membantu dalam memastikan suara kami tersebar ke seluruh dunia,” kata Mohammed Sawwaf yang juga penerbit bersama dan pengasas Alef Multimedia.

Salah seorang Penerbit Eksekutif Bersama filem ini ialah Jismi Johari, Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR). Beliau merupakan seorang pemimpin kemanusiaan yang berpengalaman luas berkhidmat di Gaza dan zon-zon krisis lain di seluruh dunia.

Kami tertarik untuk menyokong AMERICAN DOCTOR setelah bertemu dengan Poh dan melihat beliau benar-benar ikhlas. Setelah bertahun-tahun berkhidmat di Gaza dan zon-zon krisis lain, saya tahu betapa sukarnya untuk merakam apa yang sebenarnya berlaku di sana—dan saya faham betapa besarnya risiko yang diambil kru penerbitan untuk mendokumentasikan detik-detik itu. Saya melihat filem ini sebagai jambatan penting untuk advokasi; satu cara untuk mendekati masyarakat di Amerika Syarikat dan seluruh dunia yang masih belum benar-benar memahami realiti di Gaza. Saya benar-benar percaya Poh ialah individu yang berupaya menyampaikan kisah ini secara jujur.

Datin Paduka Marina Mahathir turut berperanan sebagai Penerbit Eksekutif Bersama, manakala Imran Idzqandar sebagai penerbit impak, sekali gus mencerminkan penglibatan berterusan Malaysia dalam aspek kemanusiaan, budaya, dan dialog antarabangsa.

Seiring dengan tayangan AMERICAN DOCTOR di seluruh dunia, para pembuat filem berharap karya ini menjadi bukti peranan Malaysia dalam menyokong penceritaan beretika dan individu-individu yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk tampil sebagai saksi.

BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan