Selangor batal sementara projek ternakan babi Bukit Tagar - MB

 

Susulan bantahan keras orang ramai dan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan negeri Selangor bersetuju membatalkan sementara rancangan projek ternakan babi di Bukit Tagar.

Memetik laporan MalaysiaGazette, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu sebenarnya telah diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) supaya projek berkenaan ditangguhkan bagi mencari kawasan alternatif susulan tercetusnya bantahan.

“Sebenarnya sebelum PM (perdana menteri) maklumkan kepada kita hari Rabu (minggu lalu), MMKN memang telah memberi arahan kepada Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim untuk mencari kawasan alternatif sebab kita lihat ada bantahan keras di kawasan Bukit Tagar. Kemudian diikuti dengan cadangan PM yang saya sambut baik.

“Tapi kita tidak akan maklumkan lagi kawasan-kawasan itu ataupun cadangan-cadangan lain kerana kita belum putuskan lagi,” katanya ketika ditemui ketika Majlis Amanat Tahun Baharu 2026, di Shah Alam hari ini.

Amirudin mengakui, rancangan projek ternakan babi itu diumumkan terlalu awal sehingga mencetuskan pelbagai perdebatan sehingga digambarkan di luar naratif yang sebenarnya.

“Memang isu ini agak separuh masak sebab apa-apa pun belum dihantar tapi (kelihatan) macam kita dah nak pacak semalam atau hari ini. Tidak mengapa, kita belajar daripada hal tersebut mungkin ada yang terlebih umum, agak mendahului yang sepatutnya di mana penglibatan dengan pengusaha perlu dibuat,” katanya.

Anwar pada Jumaat lalu berkata, beliau akan berbincang dengan Amirudin bagi mencadangkan supaya projek ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar dibatalkan terlebih dahulu.

Menurut beliau, Kabinet dalam mesyuarat tersebut berpandangan isu berkenaan membabitkan faktor persekitaran dan keresahan rakyat pelbagai kaum di sekitar kawasan baharu itu harus diberi perhatian.

Amirudin menambah, Anwar memaklumkan cadangannya itu menerusi panggilan telefon ketika beliau berada di luar negara.

“Saya sendiri mengambil maklum dan menyambut baik. Kebetulan Rabu lalu Exco (Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim) memaklumkan ada bantahan keras jadi saya memaklumkan kita carilah kawasan lain yang wajar atau lebih sesuai di kawasan yang kurang sensitif,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan rancangan kerajaan projek ternakan babi itu bukanlah secara besar-besaran seperti yang didakwa.

BACA LAGI








Catat Ulasan

0 Ulasan