.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah pimpinan terawal yang memberikan keizinan kepada Pemuda UMNO untuk mengadakan konvensyen khas semalam.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, tanpa restu daripada Presiden parti, adalah mustahil bagi sayap tersebut untuk menyuarakan pandangan secara terbuka dan tegas di ibu pejabat UMNO sendiri.
“Ada yang bisik-bisik kata, konvensyen hari ini kononnya tak direstui pimpinan atas. Saya nak cakap terus terang dalam bahasa paling senang, saya ini bukan ‘budak Zahid’. Saya hanyalah seorang Ketua Pemuda UMNO.
“Tapi bila hasrat untuk mengadakan konvensyen ini disuarakan, Datuk Seri Presiden adalah orang pertama yang memberi restu dan ruang kepada Pemuda untuk berhimpun dan bersuara.
“Kalaulah Presiden dan parti tidak bersama dengan Pemuda, kalau kepimpinan tidak percaya kepada keikhlasan kita, masakan hari ini kita boleh berhimpun dan bercakap dengan lantang di rumah UMNO sendiri,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Akmal menegaskan Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri ketika maruah orang Melayu dan Islam terus diperkotak-katikkan oleh rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
“Siapakah lagi yang akan menjadi benteng hadapan untuk memastikan UMNO terus hidup, terus bermaruah dan terus relevan untuk generasi akan datang?
“UMNO ini bukan sekadar nama. Ia adalah amanah, warisan dan masa depan. Hari ini kita kumpulkan keresahan, kita susun hasrat dan kita serahkan kepada pucuk pimpinan tanpa tapis, tanpa solekan.
“Ini kerana suara yang ditapis, akhirnya tidak lagi mewakili realiti,” katanya.
Beliau juga kesal apabila ada rakan komponen Perpaduan yang didakwa terus mempersendakan kesucian agama Islam sehingga menyinggung perasaan akar umbi UMNO.
“Maruah bangsa kita diperkecilkan, malah institusi Raja kita pula diuji kewibawaannya.
“Semua ini diambil mudah oleh pihak sana, dijadikan bahan jenaka atau berselindung kononnya perbincangan secara akademik, walhal, hakikatnya semua ini dijadikan modal politik murahan,” katanya.
Menurutnya lagi, Pemuda UMNO memikul tanggungjawab mempertahankan parti susulan pelbagai penghinaan dan cabaran biadab yang bukan sahaja ditujukan kepada UMNO, malah menyentuh kesucian agama Islam serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.
“Kesabaran dan kewarasan kita ada had, dan bacullah kita mengaku Pemuda UMNO jika sudah hingga ke tahap ini diperlakukan, kita diam tanpa apa-apa tindakan.
“Dengan cadangan serta persetujuan sahabat-sahabat semua, pertemuan ini kita adakan sebagai medan untuk bersuara secara berani dan bertanggungjawab,” katanya.

0 Ulasan