Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, masanya telah tiba untuk UMNO dan PAS menggerakkan kekuatan orang Melayu melalui agenda penyatuan ummah.
Menurut beliau, pihaknya memilih untuk menutup kisah silap serta menjadikan apa yang berlaku dahulu sebagai iktibar.
“Hari ini kita memilih untuk menutup kisah silam. Bukan untuk melupakannya, tetapi untuk mengambil iktibar.
"Hakikatnya jelas, apabila Melayu berpecah, pihak lain semakin rancak merancang, sedangkan kita terus tenggelam dalam budaya saling menyalahkan.
“Penyatuan berskala besar ini perlu dimulakan oleh dua parti terbesar orang Melayu, UMNO dan PAS, sekali gus memimpin usaha menggerakkan denyut kekuatan Melayu secara menyeluruh.
“Jika orang Melayu merupakan majoriti tetapi kuasanya terpecah-pecah, maka majoriti itu sekadar angka yang tidak membawa makna sebenar.
“Sejarah telah membuktikan, apabila dua parti utama Melayu berpecah, pihak yang paling menanggung kerugian ialah orang Melayu di peringkat akar umbi,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semalam.
Beliau turut menyeru seluruh orang Melayu, termasuk dalam UMNO dan PAS, agar mengenepikan perbezaan serta menghentikan polemik berpanjangan demi menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
“Saya sekali lagi mengajak semua orang Melayu yang selama ini berkecil hati, beremosi dan bersengketa, supaya membina jiwa besar dan kembali bersatu demi kepentingan nasional.
“UMNO bersedia menjadi wadah kepada usaha penyatuan ini sebagai satu amanah politik terhadap agama, bangsa, raja dan tanah air.
“Penyatuan ini bukan digerakkan atas sentimen nostalgia atau romantisme sejarah, sebaliknya demi kelangsungan hidup orang Melayu itu sendiri,” katanya.
Dr Akmal memberitahu, konvensyen itu bukan dianjurkan untuk menunjuk kekuatan secara kosong atau sekadar beraksi, sebaliknya bertujuan mengingatkan parti tentang denyut sebenar perjuangannya.
“Akar umbi adalah nadi parti. Jika nadi ini dipaksa untuk senyap, ia tidak mati secara tiba-tiba, tetapi akan lenyap perlahan-lahan.
"Ia pergi tanpa upacara, tanpa pengumuman. Ia mati kerana terlalu ramai yang memilih keselesaan daripada kejujuran,” jelasnya.

0 Ulasan