Pemuda UMNO menggesa parti keramat Melayu itu menarik diri daripada kerjasama politik dengan Kerajaan Perpaduan ekoran kegagalan pemimpin-pemimpin parti komponennya menghormati garis merah orang Melayu dan Islam.
Menurut Ketuanya, Datuk Dr. Akmal Saleh, UMNO tidak boleh terus berada dalam kerajaan yang menuntut parti itu menelan penghinaan dan menutup mata terhadap pencabulan maruah.
“Saya sendiri pernah bagi amaran, sekiranya garis merah ini dilanggar, Pemuda UMNO akan lawan dan tentang habis-habisan!
“Maka hari ini, kebiadaban ini wajib kita hentikan. Oleh itu, Pemuda UMNO dengan tegas menuntut agar UMNO menarik diri daripada kerjasama politik dengan Kerajaan Perpaduan.
“Jangan lagi kita berdiri di dalam sebuah Kerajaan yang gagal menghormati garis merah orang Melayu dan Islam,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Beliau memberitahu, UMNO sedia menjadi pembangkang yang bermaruah, berwibawa dan berprinsip daripada berada dalam kerajaan tanpa harga diri.
“Dahulu UMNO diminta menyertai kerajaan kerana kerusi tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan. Hari ini keadaannya berbeza, kerajaan sudah stabil, walaupun tanpa 26 kerusi UMNO.
“Selama tiga tahun, UMNO bukan sekadar melengkapkan angka. UMNO bekerja dan menyumbang kepada negara. Malah saudara Rafizi Ramli sendiri mengakui, menteri-menteri UMNO adalah antara yang paling berprestasi dalam kerajaan.
“Tetapi apabila prinsip kerjasama ini mula dicabuli, apabila maruah dan garis perjuangan tidak lagi dihormati, maka biarlah mereka teruskan urusan pentadbiran kerajaan tanpa UMNO,” jelasnya.
Dr. Akmal menambah, Pemuda UMNO menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha ‘tebuk atap’, lebih-lebih lagi yang datang dalam kalangan UMNO sendiri.
“Kita tidak mahu menjatuhkan kerajaan melalui jalan belakang. Kita tidak mahu merampas kuasa melalui helah. Kita mahu UMNO menang kembali dengan mandat rakyat, bukan dengan muslihat politik. Ini jelas dan tiada kompromi!
“Biarlah sejarah mencatat satu perkara dengan jelas, UMNO tidak pernah tumbang kerana kalah pilihan raya, tetapi UMNO akan musnah jika tunduk tanpa maruah,” jelasnya.

0 Ulasan