3 ADUN dihenti keahlian oleh PAS saman Speaker DUN Perlis

 

Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang dihentikan keahlian oleh PAS telah memfailkan saman pemula terhadap Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Ru’sele Eizan.

ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim bersama Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) menjelaskan bahawa tindakan itu bertujuan mencabar keputusan tersebut yang mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi kerusi mereka.

Menurut mereka, keputusan tersebut dibuat di luar bidang kuasa yang sah serta dianggap terbatal dan tidak berkesan.

“Dalam hal ini, kami menghormati pandangan Yang Dipertua tetapi berpendapat keputusan mengisytiharkan kekosongan kerusi itu adalah ‘terkhilaf dan berada di luar aturan’.

“Susulan itu, kami mengambil tindakan memfailkan saman pemula terhadap Yang Dipertua sebagai defendan pertama dan DUN Perlis sebagai defendan kedua bagi menuntut mahkamah membatalkan pengisytiharan itu,” kata mereka dalam kenyataan media bersama, semalam.

Selain itu, ketiga-tiga ADUN berkenaan turut memohon relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Saman berkenaan difailkan melalui peguam Mohd. Jamil Yaacob daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners.

Mereka menambah, tindakan itu diambil demi kepentingan rakyat kerana ketiadaan wakil rakyat selama hampir dua tahun sebelum pilihan raya negeri seterusnya akan menjejaskan hak serta kepentingan pengundi di kawasan terbabit.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan