Najib mohon rakyat kekal tenang, rasional dan berhemah

 

Berikut adalah kenyataan penuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 26 Disember 2025:

Saudara dan saudari yang saya hormati,

Saya menulis ini dengan fikiran yang tenang, meskipun hati saya berat.

Ada ketika saya merasakan seolah-olah perjuangan ini harus saya pikul sendirian. Namun saya tetap bertekad untuk meneruskannya — bukan kerana dendam, tetapi kerana prinsip. Apa yang saya tuntut hanyalah hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dan apa yang telah diperkenankan. Niat saya tidak pernah berubah: untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Perjuangan ini bukan usaha untuk mengelak daripada tanggungjawab. Ia adalah ikhtiar menegakkan keadilan, menjunjung integriti Perlembagaan, dan mempertahankan kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih. Saya akan terus menuntut hak saya melalui saluran yang sah, dengan maruah dan kesabaran, walaupun jalannya sunyi dan menuntut pengorbanan yang besar. Apa pun keputusan hari ini, saya tetap yakin kepada proses kehakiman negara.

Sehubungan itu, saya memohon semua rakyat Malaysia agar kekal tenang, rasional dan berhemah, serta tidak terpengaruh atau terlibat dalam sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau menghina proses perundangan. Perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang.

Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menilai perkara ini dengan tenang dan rasional bukan semata-mata dari sudut nasib saya sebagai individu, tetapi demi masa depan institusi negara dan prinsip-prinsip yang kita junjung bersama.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan