Puad tuduh Gobind hipokrit dalam isu 1MDB

 

Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi memberitahu, Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo tersilap bila berkata reformasi terhadap PDRM dan SPRM mesti diteruskan supaya kes seperti 1MDB tidak berulang. 

Menurut beliau, Gobind gagal melihat secara menyeluruh motif kes 1MDB, bermula daripada pertuduhan hinggalah perbicaraan berlangsung.

Puad berkata, terutamanya isu pokok yang wajib diulang sebut iaitu perbicaraan tidak adil, pendakwaan politik dan pendakwaan terpilih. 

"Pada kami, kalau kita percaya Datuk Seri Najib Razak bersalah atas lunas undang undang, maka bodohlah kita. Bukankah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya, ini pertuduhan terburu buru, penuh dendam dan beracun?

"Adakah kes 1MDB menjadi penanda aras kepada DAP bahawa reformasi institusi telah berjaya dilaksanakan?" katanya dalam hantaran Facebook 31 Disember lalu.

Bahkan, kata beliau, sikap DAP yang amat selektif dalam memperjuangkan sesuatu isu menjadi penghalang besar kepada reformasi. 

Puad berkata, DAP hanya berminat pada kes yang melibatkan kaum tertentu.

"Contohnya DAP terlalu obses dengan isu Teoh Beng Hock. Tetapi berdiam diri dalam kes pelatih Palapes UTM Shamsul Haris Shamsudin

"Keluarga Shamsul dengan dibantu oleh ADUN Dusun Tua berjuang sendiri mencari keadilan. Akhirnya kes itu dikategori sebagai kes bunuh," jelasnya.

Beliau menambah, Gobind mahu kes 1MDB tidak akan berulang lagi. 

"Apakah dengan Najib bersalah, ia tidak akan berulang lagi? Di sinilah ceteknya Gobind.

"Macam mana ia tidak akan berulang lagi. Kenapa kamu diam pasal Jho Low dan Nik Faisal yang gagal dicari. 

"Najib dibicara tanpa saksi utama? Kenapa bisu pasal Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz yang belum didakwa hingga ke hari ini.

Puad berkata, The Edge pada 8 Mac 2021 mendakwa lebih RM700 juta dana berkaitan 1MDB telah masuk ke akaun bank yang dikaitkan dengan keluarga Zeti.  

"Apakah Zeti tidak tahu hubungan suaminya Tawfiq Ayman dengan Jho Low dalam syarikat ADKMIC? Dia Gabenor Bank Negara. Mustahil dia tidak tahu sebarang transaksi yang berlaku?

"Pada November 2021, SPRM umum AS$16.22 juta dari akaun syarikat Cutting Edge Industries Ltd millik Tawfiq dan Samuel Goh Sze-Wei dipulangkan. 

"Samuel mengaku di mahkamah Singapura dia dibayar AS$4 juta untuk tubuh syarikat luar pesisir yang diguna untuk memindah duit 1MDB.  

"Sebab itu apa jaminan ia tidak akan berulang jika kamu (DAP) menutup mata sebelah dan bersikap selektif? Sebab itu kamu (DAP) dihukum 'total loss' di Sabah. Itu permulaan," katanya.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan