Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menepis dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berhubung kewujudan ‘Team A’ dan ‘Team B’ dalam DAP.
Anthony turut menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan bersifat manipulatif.
Memetik laporan MalaysiaGazette semalam, beliau menegaskan, DAP sentiasa beroperasi sebagai satu pasukan dan tidak pernah mempunyai sebarang kumpulan dalaman seperti yang didakwa.
Menurut Anthony, tuduhan kononnya beliau sendiri memaklumkan perkara itu kepada Ahmad Zahid adalah tidak benar dan langsung tidak masuk akal.
“Adakah saya nampak bodoh? Cerita tentang parti saya sendiri kepada orang luar.
"Adakah ini logik sama sekali? Saya nafikan sekeras-kerasnya,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2025 semalam.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan turut memberi peringatan kepada para perwakilan agar tidak terjebak dengan taktik politik lama yang bertujuan memecah-belahkan parti.
“Kepada semua perwakilan, jangan termakan dengan dakwaan seperti ini.
"Ini cara lama berpolitik ‘divide and rule’ ala Machiavelli yang bertujuan menimbulkan keresahan dan curiga dalam kalangan kita,” tegasnya.
Kelmarin, Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mendakwa, percanggahan kenyataan dalam kalangan kepimpinan utama DAP berpunca daripada kewujudan ‘Team B’ dalam parti tersebut.
Beliau turut mendakwa bahawa maklumat berkenaan telah disampaikan sendiri oleh Anthony kepadanya.
“Betul (Naib Presiden UMNO) Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan (Timbalan Presiden UMNO) Datuk Seri Mohamad Hasan kata nak takut dengan DAP ini pasal apa… yang keluarkan kenyataan macam-macam itu ‘Team B’ dalam DAP.
“Mereka pun ada Team B juga. Saya jumpa sendiri dengan Setiausaha Agungnya,” katanya.

0 Ulasan