Zahid tarik balik dakwaan wujud Team A, Team B dalam DAP

 

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menarik semula kenyataan berhubung dakwaan kewujudan ‘Team A’ dan ‘Team B’ dalam DAP sekiranya ia menyinggung mana-mana pemimpin parti tersebut.

Memetik laporan MalaysiaGazette semalam, beliau menjelaskan, kenyataan itu hanyalah gambaran terhadap percanggahan pendapat daripada segelintir kecil kepimpinan DAP berhubung isu yang dibangkitkan oleh Pemuda UMNO sebelum ini.

“Jadi itu cuma satu gambaran, bukan satu keabsahan kewujudan team (kumpulan) dalam DAP.

“Jika itu menyinggung DAP, saya menarik balik apa yang saya sebutkan itu.

“Tetapi tidak langsung menjadi maksud kepada saya untuk menggambarkan terdapat atau wujud dua kem dalam DAP, cuma mungkin terdapat perbezaan pendapat yang kecil,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung PPP di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Beliau yang juga Pengerusi BN menambah,isu berkenaan turut disentuh oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam ucapan masing-masing semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.

Ahmad Zahid memberitahu, UMNO tidak seharusnya mengambil kira pandangan daripada mana-mana kumpulan yang berbeza pendapat dengan kepimpinan utama DAP, terutamanya jika ia bukan merupakan pendirian rasmi parti tersebut.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menafikan kewujudan ‘Team A’ dan ‘Team B’ dalam partinya, sambil menyifatkan adalah tidak masuk akal untuk beliau mendedahkan hal dalaman parti kepada pihak luar.

Anthony memberi reaksi tersebut susulan ucapan Ahmad Zahid semasa penangguhan PAU 2025 semalam yang mendakwa kenyataan bercanggah daripada kepimpinan utama DAP berpunca daripada ‘Team B’.

Seperti dilaporkan media, Ahmad Zahid turut mendakwa bahawa maklumat itu dimaklumkan sendiri oleh Anthony Loke kepadanya.

BACA LAGI












Catat Ulasan

0 Ulasan