Syukur alhamdulillah, kebenaran terbukti jua - Zahid

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersyukur dengan keputusan Jabatan Peguam Negara  bahawa tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung kes melibatkan beliau yang sebelum ini berdepan 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

"Syukur alhamdulillah. Masa akhirnya menjawab segalanya, kebenaran terbukti jua," katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Dalam kenyataan media semalam, Jabatan Peguam Negara merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang telah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

“Berikutan keputusan DNAA tersebut, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang merangkumi aspek-aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan, termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada jabatan ini selepas Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri,” kata kenyataan itu.

Menurut jabatan tersebut, hasil penelitian terhadap bahan dan keterangan baharu yang diperoleh daripada siasatan lanjut mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan.

Penilaian itu turut mengambil kira beberapa perkara termasuk skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan yang difailkan.

Selain itu, jabatan berkenaan turut meneliti pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkehalan penerusan pendakwaan.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan