Jabatan Peguam Negara mengumumkan bahawa tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini berdepan 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Dalam kenyataan media semalam, jabatan itu merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang telah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
“Berikutan keputusan DNAA tersebut, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang merangkumi aspek-aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan, termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada jabatan ini selepas Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri,” kata kenyataan itu.
Menurut jabatan tersebut, hasil penelitian terhadap bahan dan keterangan baharu yang diperoleh daripada siasatan lanjut mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan.
Penilaian itu turut mengambil kira beberapa perkara termasuk skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan yang difailkan.
Selain itu, jabatan berkenaan turut meneliti pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkehalan penerusan pendakwaan.
“Langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan oleh pihak SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baharu kes; dan dapatan hasil siasatan lanjut tersebut yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan berkenaan dari semasa ke semasa,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung kes berkenaan.
“Keputusan ini dengan sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan, selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan,” kata jabatan itu.
Jabatan tersebut menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang, dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan, serta keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah.

0 Ulasan