Semua pihak termasuk rakan komponen Perikatan Nasional (PN) digesa agar melakukan gencatan serta menghentikan sebarang serangan terbuka sesama sendiri.
Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman menyatakan bahawa penulisan mengenai perkara yang bersifat sulit secara terbuka perlu dihentikan segera kerana parti itu kini hanya mahu meneruskan agenda perjuangan mereka.
“Mengapa perlu menulis hal ‘sulit’ secara terbuka? Ikutkan hati, mahu sahaja saya membalas, namun saya memilih untuk menahan diri.
"Justeru atas rasa hormat kepada kekanda Datuk DrM & TunF, permintaan saya; cukup-cukuplah menulis,” katanya dalam hantaran Facebook kelmarin.
Ahli Parlimen Bachok itu menjelaskan bahawa tarikh 1 Februari merupakan genap sebulan selepas pemandu bas meletakkan jawatan pada 1 Januari lalu yang mengakibatkan perjalanan gabungan berkenaan terganggu.
Beliau menambah bahawa situasi tersebut menyebabkan penumpang berasa gelisah manakala rakyat pula sedang menunggu, justeru mereka mahu perjalanan diteruskan tanpa gangguan lagi.
“Di Perak dan Melaka, kami telah lancarkan jentera pilihan raya. Negeri lain, bakal menyusul. Di pihak Pas, jentera sudah siap siaga, tabung sudah dikira dan calon pun sudah turun bekerja.
"Persiapan bukan setakat di 43 kerusi Parlimen kami, termasuk di enam kerusi ‘lompat’ yang dilaporkan tidak terjaga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mendakwa terdapat dua lagi kerusi yang dikatakan bakal melompat dan berharap agar pihak-pihak berkaitan lebih berwaspada mengenai perkara tersebut.
“Silence is golden. Serahkan kepada pucuk pimpinan untuk mesyuarat ‘full-council’ segera.
"Jika kalian berpandangan TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) adalah Pengerusi PN yang masih ‘berkuat kuasa’, mudah sahaja, sila panggil mesyuarat segera,” katanya.
Beliau turut menegaskan pendirian PAS yang mahu gabungan itu terus melangkah ke hadapan demi kepentingan rakyat.
“Kami hanya mahu teruskan perjalanan. Jangan berlengah lagi,” katanya.

0 Ulasan