Bekas Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad disekolahkan kerana cuba membina persepsi negatif kononnya pentadbiran hari ini enggan melayan tuntutan penukaran status tanah di Kampung Melayu Majidee.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin yang juga Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, dakwaan tersebut adalah tidak adil serta tidak jujur memandangkan Dzulkefly pernah berada dalam sistem pentadbiran sebelum ini.
Beliau menyatakan kekecewaan terhadap naratif yang dibawa seolah-olah isu penukaran status daripada pajakan kepada hak milik kekal tersebut boleh diselesaikan dengan mudah melalui keputusan politik semata-mata.
“Hakikatnya, ketika isu ini telah lama wujud, beliau sendiri pernah berada dalam sistem pentadbiran negeri sebagai Exco dan mempunyai kedudukan untuk mengemukakan dasar serta keputusan.
"Jika benar perkara ini semudah yang digambarkan hari ini, mengapa tiada pelaksanaan menyeluruh ketika memegang jawatan?
“Memberi gambaran seolah-olah isu ini boleh diselesaikan hanya dengan satu keputusan politik, tanpa menjelaskan implikasi undang-undang, dasar tanah negara dan risiko pasaran, adalah tidak adil kepada penduduk serta tidak jujur dari sudut tadbir urus.
"Jangan selepas tidak lagi memikul tanggungjawab pentadbiran barulah mahu tampil sebagai ‘hero rakyat’,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Mohd. Hairi menjelaskan, isu tanah di kawasan tersebut tidak boleh dijadikan bahan ceramah politik kerana ia melibatkan peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara, khususnya Seksyen 76(aa).
Menurut beliau, pemberimilikan tanah secara pegangan kekal hanya boleh dipertimbangkan dalam keadaan khas yang ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara, sedangkan Kampung Melayu Majidee telah dikurniakan sebagai pegangan pajakan sejak penubuhannya pada tahun 1951.
“Status ini tidak termasuk dalam kategori keadaan khas yang membolehkan pertukaran kepada pegangan kekal. Ini bukan soal tidak mahu, tetapi soal terikat dengan peruntukan undang-undang.
“Jika hak milik kekal diberi tanpa kawal selia, tanah boleh bertukar menjadi aset spekulasi. Hari ini dapat hak milik kekal, esok lusa ramai menjual, dan akhirnya kampung tergadai.
"Matlamat utama kerajaan ialah memastikan kampung ini kekal sebagai tempat hidup, membesar, berkeluarga dan mengekalkan identiti warisan, bukan aset untuk diperdagangkan,” tegasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri telah mengambil langkah lebih praktikal dengan memudah cara penyambungan pajakan serta menyediakan insentif pengurangan premium bagi meringankan beban penduduk.
Malah katanya, Kampung Melayu Majidee kini termasuk dalam kawasan tumpuan komuniti Melayu bandar atau Malay Belt di Johor Bahru yang sedang diberi perhatian melalui Kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kampung Tradisi Bandaraya Johor Bahru.
“RKK ini bertujuan memulihara kawasan Kampung Melayu Majidee melalui perancangan lebih tersusun dengan penglibatan masyarakat serta agensi berkaitan.
"Ia merangkumi strategi meningkatkan kualiti hidup penduduk, pemerkasaan ekonomi tempatan, penambahbaikan infrastruktur asas dan pemeliharaan identiti warisan komuniti Melayu bandar.
“Saya berharap tiada pihak mengambil kesempatan membina sentimen yang mengelirukan rakyat demi kepentingan politik jangka pendek. Keputusan berkaitan tanah mesti dibuat secara berhemah, berhati-hati dan berpandangan jauh,” katanya.

0 Ulasan