Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abd. Karim sepatutnya bertanya berapa banyak wang rampasan atau yang disita oleh SPRM telah hilang akibat kecuaian dan dicuri oleh orang dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri.
Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, negara pernah dikejutkan apabila seorang pegawai kanan SPRM mencuri wang eksibit SPRM berjumlah AS$6.94 juta untuk beli pelbagai aset peribadi seperti rumah, kereta Mercedes, jam Rolex, motosikal Ducati dan lain lain.
Menurut beliau, wang itu asalnya dirampas daripada bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Risikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abd Hamid.
"Tetapi ketika memeriksa wang tersebut setelah bebas dari tuduhan, didapati wang itu hilang dan diganti dengan duit palsu.
"Bagaimana ini boleh berlaku dalam bangunan SPRM. Berapa banyak kes seperti ini berlaku atau tidak dilapor?
"Bagaimana wang itu boleh dicuri dan diseludup keluar. MCW patut tanya lebih menyeluruh," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

0 Ulasan