Polis Kuala Lumpur tidak membenarkan penganjuran perhimpunan oleh Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadualkan berlangsung di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu kota, malam ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira faktor risiko keselamatan dan kebimbangan masyarakat setempat serta pemilik perniagaan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, pada 3 Februari lalu polis telah menerima surat pemakluman daripada penyelaras GARAH yang merancang untuk mengadakan perhimpunan aman di Kompleks Beli-belah Sogo pukul 8 malam ini.
"Sehubungan itu polis telah menjalankan risikan keselamatan dan mendapatkan maklum balas dari semua pihak yang terlibat termasuk pemilik premis-premis di sekitar lokasi berkenaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Fadil berkata, Ketua Polis Daerah Dang Wangi juga telah mengadakan perbincangan bersama pihak penganjur Himpunan GARAH kelmarin.
"Semalam, polis telah menerima surat bantahan daripada pemilik premis Kompleks Sogo, Pertama Kompleks dan Harissons serta premis di sekitar lokasi berkenaan tentang kebimbangan pemilik premis ke atas keselamatan pelanggan-pelanggan yang hendak membeli-belah dalam masa berkenaan.
"Maklumat bebas juga diperolehi akan berlaku pecah keamanan dan ancaman keselamatan kepada masyarakat di sekitar lokasi perhimpunan yang dijangka dipenuhi orang ramai yang datang untuk membeli-belah sempena sambutan beberapa perayaan," jelasnya.
Fadil berkata, hasil pertimbangan mendalam mendapati perhimpunan itu berisiko mendatangkan kemudaratan.
"Oleh yang demikian setelah membuat pertimbangan dan risikan keselamatan dijangkakan perhimpunan ini boleh menyebabkan kemudaratan kepada awam maka polis membuat keputusan tidak membenarkan penganjur untuk meneruskan perhimpunan ini.
"Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadirkan diri dalam perhimpunan ini dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan dan mengganggu gugat keselamatan awam di lokasi yang berkenaan. Pihak polis akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam diutamakan," tegasnya.

0 Ulasan