![]() |
| Gambar: Palestinian Information Center |
Pengarah Eksekutif Human Rights Watch, Philippe Bolopion menuduh tentera Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai atau genosid di Semenanjung Gaza selain menyatakan bahawa organisasi itu telah mendokumentasikan banyak jenayah yang dilakukan oleh kerajaan Israel terhadap orang awam.
Dalam kenyataannya kepada Al Jazeera, Bolopion menyatakan bahawa kerajaan Amerika Syarikat telah gagal mengambil langkah serius untuk menghentikan kekejaman di Gaza. Beliau turut menekankan bahawa keganasan pendatang haram Yahudi di Tebing Barat telah memuncak sehingga mengakibatkan penduduk kem pelarian kehilangan tempat tinggal.
Dalam perkembangan berkaitan, Human Rights Watch sebelum ini mengisytiharkan bahawa kerajaan Israel telah menghalang hak pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air mereka. Organisasi itu menegaskan bahawa pengusiran rakyat Palestin masih berterusan dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh kerajaan Israel.
Di lapangan, sumber perubatan melaporkan bahawa seramai 24 orang awam terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza sejak subuh hari ini dalam satu pencabulan yang jelas terhadap perjanjian gencatan senjata.
Perkembangan ini berlaku ketika tentera Israel terus mencabuli perjanjian gencatan senjata yang dicapai dengan Hamas yang mula berkuat kuasa pada Oktober lalu.

0 Ulasan