Kongres khas 12 Julai tentukan sama ada pemimpin DAP letak jawatan dalam kerajaan

 

Kongres khas DAP pada 12 Julai 2026 bakal menentukan sama ada pemimpin-pemimpin parti itu meletak jawatan dalam kerajaan atau kekal.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam wawancara bersama Sin Chew Daily baru-baru ini.

Seperti dilaporkan The Star yang memetik wawancara Sin Chew Daily itu, Anthony berkata, usul tersebut dijangka diundi oleh lebih 4,000 perwakilan.

Langkah tersebut merupakan julung-julung kali diambil oleh DAP di mana keputusan penting melibatkan hala tuju parti sebelum ini ditentukan oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Keputusan itu bakal melibatkan semua pemimpin DAP yang sedang memegang jawatan dalam kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Anthony menganggap usul itu sebagai referendum dalaman dan menegaskan bahawa walaupun perwakilan mengundi supaya peletakan jawatan dilakukan, 40 Ahli Parlimen DAP akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Kami mempunyai 40 ahli Parlimen yang akan memastikan kestabilan kerajaan. 

"Sama ada kami terus berkhidmat sebagai menteri dan timbalan menteri atau meletak jawatan daripada semua jawatan termasuk dalam majlis tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan, perkara itu akan diputuskan oleh perwakilan,” katanya.

Pada PRN Sabah baru-baru ini, DAP menerima tamparan hebat apabila gagal memenangi kesemua lapan kerusi yang ditandingi.

Sebahagian pemerhati politik berpandangan, keputusan buruk itu adalah tempias daripada kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan sebahagian besar manifesto pilihan raya mereka.

Tidak kurang juga yang menganggap usul meletak jawatan itu satu gimik terdesak untuk memancing semula sokongan pengundi Cina yang semakin menjauhi DAP.

DAP dilihat sangat terdesak selepas menerima hadiah telur PRN Sabah sehingga sanggup memainkan isu-isu lapuk seperti pengiktirafan UEC, pilihan raya PBT dan pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan