Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, walaupun Bersatu dikatakan 'berhantu', tiada siapa yang takut dengan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut dikatakan 'hantu'.
Menurut beliau, sebanyak tujuh pemimpin Bersatu dipecat tetapi 16 ahli Parlimen daripada parti itu mendesak Muhyiddin meletak jawatan.
"Kenapa mereka tidak takut kepada hantu Muhyiddin? Sebab dia bukan PM. Dia tidak ada kuasa.
"Masa Tun Mahathir jadi PM ketujuh, mereka lari tinggalkan UMNO kerana takut kepada hantu Tun M. Takut didakwa dan dipenjara.
"Yang tidak takut kepada hantu Tun M ialah Najib dan Zahid," katanya dalam hantaran Facebook pada 15 Februari 2026.
Puad mengulas kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainudin baru-baru ini yang mendakwa banyak 'hantu' dalam Bersatu.
Beliau menambah, kalau benar dakwaan Hamzah itu, tidak lama lagi Bersatu akan jadi parti hantu.

0 Ulasan